SHAH ALAM, 15 DIS: Seorang wanita berputih mata apabila impiannya memiliki set periuk berjenama dari luar negara musnah selepas menjadi mangsa penipuan pembelian dalam talian membabitkan kerugian RM155,788, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata mangsa berusia 50 tahun itu tertarik dengan iklan penjualan set periuk berkenaan di aplikasi Instagram melalui akaun my.lovelykitchen.uk sejak September lalu.
Menurut beliau, mangsa yang bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat itu membuat pembayaran awal ke akaun bank yang diberikan suspek bagi tujuan pembelian set periuk tersebut.
“Selepas pembayaran awal, mangsa diminta membuat beberapa bayaran tambahan kononnya untuk pelepasan kastam, wang jaminan serta yuran pentadbiran.
“Permintaan itu dibuat oleh individu yang menyamar sebagai wakil penjual, pegawai kastam dan pegawai bank negara,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata mangsa seterusnya melakukan pelbagai transaksi pemindahan wang ke 18 akaun bank berbeza atas arahan suspek.
Bagaimanapun, sehingga kini mangsa tidak menerima barangan yang dipesan dan hanya diberikan pelbagai alasan oleh suspek sebelum menyedari dirinya ditipu.
“Mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM155,788. Setakat ini suspek masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


