Rempuh pondok tol: Pemandu treler mengaku tidak bersalah memandu bawah pengaruh dadah

15 Dis 2025, 8:37 AM
Rempuh pondok tol: Pemandu treler mengaku tidak bersalah memandu bawah pengaruh dadah

SHAH ALAM, 15 DIS: Pemandu treler yang merempuh pondok Plaza Tol Kemuning, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) pada Rabu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.

Tertuduh, Noor Azuan Abdul Rahman, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.

Mengikut pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa memandu kenderaan berat berkenaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan ke atas mangsa di lorong Plaza Tol Kemuning arah Klang ke Kuala Lumpur, Lebuhraya Kesas, pada jam 9.11 malam, 10 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan perlu menjaga ibu bapa yang uzur serta anak saudaranya yang masih kecil.

“Mohon puan kurangkan jaminan, saya rayu kepada puan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Tertuduh hadir ke mahkamah ditemani kakak dan ibunya yang menggunakan kerusi roda.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Ameera Mastura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan kes ini selesai,” katanya.

Beliau menetapkan 12 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen, termasuk lantikan peguam.

Terdahulu, media melaporkan suasana di Plaza Tol Kota Kemuning bertukar cemas apabila sebuah treler yang hilang kawalan merempuh pondok tol serta dua kereta dalam kejadian pada malam Rabu lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 9.17 malam.

Menurutnya, kemalangan itu turut membabitkan penjaga tol, namun semua mangsa dilaporkan selamat.