Treler hilang kawalan, rempuh pondok tol

11 Dis 2025, 1:28 AM
Treler hilang kawalan, rempuh pondok tol

SHAH ALAM, 11 DIS: Suasana di Plaza Tol Kota Kemuning bertukar cemas apabila sebuah treler yang hilang kawalan merempuh pondok tol serta dua kereta dalam kejadian malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 9.17 malam.

"Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 11 kilometer," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9.28 malam dan mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan.

"Sebuah treler telah merempuh pondok tol dan melanggar dua buah kereta iaitu Perodua Bezza serta Proton Wira," katanya.

Menurutnya, kemalangan itu turut membabitkan penjaga tol, namun semua mangsa dilaporkan selamat.