Karnival Hari OKU Selangor 2025: Raikan kepelbagaian, sokong komuniti inklusif

15 Dis 2025, 2:53 AM
Karnival Hari OKU Selangor 2025: Raikan kepelbagaian, sokong komuniti inklusif

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Negeri mengajak seluruh keluarga menyertai Karnival Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 yang bakal berlangsung pada 20 Disember ini di Fakulti Perubatan, UiTM Cawangan Selangor (Kampus Selayang).

Bermula jam 8 pagi hingga 2 petang, EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, berkata program ini membuka ruang untuk berkumpul, belajar, berhibur dan saling memahami dalam suasana mesra dan inklusif.

“Karnival ini bukan sekadar acara, tetapi peluang untuk membina kesedaran, sokongan dan kasih sayang kepada komuniti OKU serta keluarga mereka,” katanya di Facebook.

Pelbagai program menarik disediakan untuk anak-anak, ibu bapa dan penjaga, antaranya:

  • Seminar Ibu Bapa tentang intervensi awal dan peranan keluarga dalam menyokong anak OKU.

  • Mega Saringan Perkembangan Awal Kanak-kanak bagi mengenal pasti keperluan perkembangan dan pendidikan.

  • KITA OKU Fun Walk, acara riadah dan kesedaran komuniti.

  • Persembahan & pertandingan kanak-kanak OKU, mempamerkan bakat dan kreativiti mereka.

  • Rawatan pergigian & pameran agensi/NGO OKU, memberi maklumat dan perkhidmatan kepada keluarga.

Anfaal menambah, karnival ini juga menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan masyarakat dan memupuk sikap saling menghargai serta penyayang dalam kalangan rakyat Selangor.

Beliau menyeru seluruh keluarga hadir bagi merasai pengalaman inklusif dan menyokong komuniti OKU, sambil menekankan kepentingan meraikan kepelbagaian dalam masyarakat.