SHAH ALAM, 15 DIS: Seorang warga Myanmar maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Istana, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.14 pagi, lapor Berita Harian.
Menurutnya, mangsa berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Lebuhraya Besraya menghala ke Pusat Bandar dipercayai cuba menukar lorong ke kanan sebelum dilanggar sebuah kereta yang bergerak lurus di lorong berkenaan.
“Kereta tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala motosikal berkenaan adalah milik individu lain yang kini sedang dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut, sementara pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah beliau, polis telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta mengambil keterangan pemandu kereta bagi membantu siasatan lanjut.
“Proses pengesahan identiti dan waris mangsa masih dijalankan. Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-448 2852,” katanya.


