Seri Serdang perkukuh kemudahan sukan, fokus golongan muda

15 Dis 2025, 5:00 AM
Seri Serdang perkukuh kemudahan sukan, fokus golongan muda
Seri Serdang perkukuh kemudahan sukan, fokus golongan muda
Seri Serdang perkukuh kemudahan sukan, fokus golongan muda

SHAH ALAM, 15 DIS: Pembinaan Gelanggang Futsal baharu dan penganjuran Karnival Sukan Permai Court 2025 mencerminkan komitmen untuk memperkukuh kemudahan sukan di DUN Seri Serdang, sekali gus menggalakkan penyertaan aktif masyarakat setempat.

Wakil rakyatnya, Abbas Azmi, berkata kemudahan tersebut bukan sekadar ruang riadah, sebaliknya medium penting untuk memberdaya komuniti serta membentuk generasi muda yang sihat dan berdaya saing.

“Peruntukan yang diberikan Kerajaan Negeri saya laksanakan sepenuhnya demi manfaat komuniti, bukan hanya di Permai Court tetapi seluruh kawasan DUN Seri Serdang.

“Matlamat kita ialah memastikan komuniti berada dalam keadaan baik, hidup bersatu dan harmoni,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menghampiri penganjuran Sukma Selangor tahun hadapan, Abbas berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada pelbagai program sukan khusus untuk golongan muda.

“Tekad saya, insya-Allah tahun depan kita bawa lebih banyak program bermanfaat selain melihat penambahbaikan infrastruktur yang diperlukan,” katanya.

Namun, beliau menegaskan kejayaan pembangunan sukan setempat bergantung kepada kerjasama semua pihak.

“Saya yakin melalui usaha bersama, kita dapat membentuk sebuah komuniti contoh di Selangor, insya-Allah,” katanya.

Gelanggang futsal baharu itu kini menjadi simbol usaha bersama membina komuniti yang lebih aktif, sihat dan sejahtera.