Selangor perkemas sistem kutipan sisa pepejal, tumpu kebersihan negeri

14 Dis 2025, 11:58 AM
Selangor perkemas sistem kutipan sisa pepejal, tumpu kebersihan negeri
Selangor perkemas sistem kutipan sisa pepejal, tumpu kebersihan negeri

PETALING JAYA, 14 DIS: Kerajaan Negeri sedang melaksanakan pelbagai penambahbaikan terhadap sistem kutipan sampah sebagai langkah proaktif menangani isu kebersihan seperti dibangkitkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta aduan orang ramai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyedari peningkatan aduan kebersihan khususnya yang disuarakan menerusi media sosial dan memberi jaminan semua laporan diambil tindakan sewajarnya.

“Berdasarkan pemantauan kita, hampir 100 peratus aduan yang diterima berjaya diselesaikan,” katanya ketika ditemui pada sambutan Krismas peringkat negeri Selangor 2025 di pusat beli-belah 1 Utama di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan DYMM Sultan Selangor berhubung isu kebersihan yang disifatkan penting dalam memelihara imej negeri.

Dalam temu bual sempena ulang tahun ke-80 bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) baru-baru ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap tahap kebersihan Selangor dan menggesa tindakan segera diambil.

Baginda menyentuh isu kutipan sampah tidak konsisten, tong sampah awam tidak disenggara serta penguatkuasaan lemah mencerminkan kelemahan sistemik.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan terdapat aduan yang melibatkan kawasan bukan awam namun tetap disusuli oleh pihak berkuasa tempatan dan syarikat pengurusan sisa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media ketika majlis penyerahan sumbangan dana kepada masjid dan surau di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 10 Disember 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Antara cabaran utama ialah kawasan yang tidak ekonomik untuk operasi dan kelewatan logistik yang menjejaskan keberkesanan kutipan sisa semasa.

“Isu ini boleh diatasi apabila kita memperkemas sistem kutipan sisa sedia ada,” katanya.

Antara langkah yang sedang dilaksanakan termasuk perkongsian kos dengan kerajaan persekutuan menerusi Skim 672 di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang dijangka dapat memperluas dan mengukuhkan perkhidmatan pengurusan sisa di Selangor.

Beliau turut mengumumkan bahawa fasiliti jana kuasa tenaga daripada sisa di Jeram akan mula beroperasi pada suku pertama 2026.

“Ia telah siap dan hanya menunggu proses pentauliahan,” katanya sambil menjelaskan bahawa fasiliti berkenaan akan menambah keupayaan pelupusan serta menyokong tapak pelupusan sedia ada.

Beliau menegaskan semua langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda reformasi pihak berkuasa tempatan dalam usaha menangani isu kebersihan secara berperingkat, selari dengan titah Sultan Selangor serta harapan rakyat.