Selangor tawar lebih 78,000 rumah mampu milik setakat Disember 2025

2 Apr 2026, 5:42 AM
Selangor tawar lebih 78,000 rumah mampu milik setakat Disember 2025
Selangor tawar lebih 78,000 rumah mampu milik setakat Disember 2025
Selangor tawar lebih 78,000 rumah mampu milik setakat Disember 2025
Selangor tawar lebih 78,000 rumah mampu milik setakat Disember 2025

HULU LANGAT, 2 APR: Sebanyak 78,112 unit rumah mampu milik ditawarkan setakat 15 Disember 2025, selaras komitmen Kerajaan Negeri memastikan rakyat mempunyai akses kepada perumahan yang mencukupi, berkualiti dan berdaya milik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata secara keseluruhan, sebanyak 147,967 unit rumah mampu milik kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, meliputi projek siap, dalam pembinaan dan perancangan.

Menurutnya, perkembangan itu meletakkan sasaran penyediaan 200,000 unit rumah mampu milik menjelang 2028 berada di landasan tepat, seiring usaha menyediakan kediaman selesa dan berkualiti untuk rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan Simbolik Penyerahan Kunci Projek Residensi Selangorku Oleander di Beranang, Hulu Langat pada 2 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Insya-Allah menjelang 2028, saya percaya kalau momentum dapat kita teruskan seperti ini, kita dapat menyiapkan perumahan dan juga mencapai sasaran yang telah kita tetapkan untuk menyediakan perumahan yang bermaruah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan simbolik penyerahan kunci Projek Residensi Selangorku Oleander di sini, hari ini.

Amirudin turut menjelaskan Residensi Oleander dibangunkan menerusi konsep Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku Harapan, iaitu inisiatif yang diperkenalkan ketika negeri berdepan ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik Covid-19, dan kini terbukti menjadi antara penyelesaian utama penyediaan rumah mampu milik.

Dato Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari menyerahkan kunci kepada pembeli rumah Selangorku di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan Simbolik Penyerahan Kunci Projeck Residensi Selangorku Oleander di Beranang, Hulu Langat pada 2 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Saya masih ingat di awal kita ingin membangunkan konsep perumahan seperti ini, 1,000 kaki persegi, ada dua tempat letak kereta, sebahagian berperabot, almari, pendingin hawa.

"Pada ketika itu ramai pihak yang merasakan kita mungkin tidak mampu lakukan. Mula-mula kita buat di Kajang. Kita lunaskan janji tahun 1995 kepada pemain-pemain bola sepak Selangor yang dulu ditawarkan rumah.

"Alhamdulillah di saat kita berdepan dengan krisis, situasi yang tidak menentu pada waktu itu, inovasi dan juga cara fikir Kerajaan Negeri telah menghasilkan satu persediaan perumahan yang lebih menyenangkan, selesa serta mampu milik untuk dalam keadaan yang lebih bermanfaat,” katanya.

Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku Harapan diumumkan Amirudin dalam pembentangan Belanjawan pada 13 Julai 2020 menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi, Pakej Rangsangan Ekonomi Ke-3 di bawah Tonggak Kedua, iaitu Kemampanan Ekonomi.

Rumah Residensi Selangorku Oleander di Beranang, Hulu Langat pada 2 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Inisiatif itu bertujuan merancakkan pembangunan hartanah selepas pandemik Covid-19 serta dikenali sebagai Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik pasca pandemik.

Terdahulu, Amirudin turut menyaksikan pemeteraian MoU antara Trans Loyal Development Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi pembangunan 26,405 unit rumah mampu milik dalam tempoh 15 tahun.

Kerjasama itu menyaksikan syarikat berkenaan berperanan sebagai rakan strategik dalam mempercepat pelaksanaan projek, memastikan pematuhan spesifikasi dan kualiti, serta mengoptimumkan kos dan tempoh pembinaan melalui pendekatan inovatif dan berdaya saing.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.