BANGKOK, 14 DIS: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Malaysia dalam acara itu di Sukan SEA Thailand selepas menewaskan pasangan Indonesia dalam aksi final yang mendebarkan, hari ini.
Gandingan ranking kedua dunia itu mencatat kemenangan 21-16, 19-21, 21-17 ke atas Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari di Gimnasium Universiti Thammasat, Rangsit.
Kejayaan berkenaan mengulangi pencapaian kali terakhir Malaysia meraih emas beregu wanita pada Sukan SEA 2015 di Singapura menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho, lapor Harian Metro.
Pearly-Thinaah bermula cemerlang pada set pertama dengan corak permainan pantas serta pertahanan kukuh yang menyukarkan pasangan Indonesia mencari rentak permainan.
Bagaimanapun, wakil Indonesia bangkit memenangi set kedua sebelum beregu negara kembali menguasai perlawanan pada set penentuan untuk memastikan kemenangan mutlak.
Pingat emas itu sekali gus mengukuhkan status Pearly-Thinaah sebagai antara beregu wanita terbaik dunia serta menyuntik semangat kontinjen negara dalam kempen Sukan SEA kali ini.



