JPJ Selangor terima 27 kamera badan perkukuh integriti, lindungi petugas barisan hadapan

14 Dis 2025, 11:15 AM
JPJ Selangor terima 27 kamera badan perkukuh integriti, lindungi petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 14 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerima 27 unit alat perakam badan (BWC) untuk digunakan petugas barisan hadapan bagi memperkukuh integriti dan ketelusan perkhidmatan.

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata, peranti itu akan diberi keutamaan kepada kakitangan bahagian penguatkuasa serta petugas kaunter, dengan penggunaan dioptimumkan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan, lapor Berita Harian.

"Penggunaan BWC ini penting kerana ianya bukan sahaja untuk kebaikan orang awam malah turut dapat melindungi petugas di lapangan," katanya.

Beliau menjelaskan, keupayaan meneliti semula rakaman kejadian menerusi BWC akan mengurangkan pertikaian dakwaan tidak berasas dan potensi salah laku, pada masa sama meningkatkan tahap integriti.

Terdahulu, sejumlah pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor menghadiri taklimat penggunaan peranti BWC yang disampaikan Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor, Muhamad Fahmi Mohamad Daud, baru-baru ini.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata penggunaan BWC bermula bulan lalu melibatkan pegawai penguat kuasa JPJ bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta meningkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan awam.

Menurutnya, sebanyak 100 unit BWC akan digunakan oleh pegawai penguat kuasa JPJ melibatkan ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan berjumlah RM2.3 juta.