PETALING JAYA: Penyunting video Astro Awani maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dipercayai terbabas di Kilometer 457.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.05 malam ketika mangsa, Mohd Kusairi Ishak, 52, dalam perjalanan dari Tapah, Perak ke Bangsar, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya. Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh.
"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis kini mengesan saksi bagi membantu siasatan.
Astro Awani memaklumkan Allahyarham dikenali sebagai tenaga kreatif berdedikasi dan antara penyumbang penting kandungan video serta media sosial stesen berkenaan.


