Rewang Komuniti Strata ruang dekatkan keunikan budaya di luar bandar

14 Dis 2025, 6:00 AM
Rewang Komuniti Strata ruang dekatkan keunikan budaya di luar bandar

HULU SELANGOR, 14 DIS: Program Rewang Komuniti anjuran Kerajaan Negeri menjadi platform kepada penggiat seni tempatan untuk menampilkan keunikan kepelbagaian budaya kepada penduduk luar bandar.

Guru tari, Noor Azura Abd Hamid, 39, berkata pelbagai persembahan kebudayaan dipersembahkan sepanjang program itu, termasuk silat serta tarian Melayu, Cina dan India yang disajikan khas untuk penduduk setempat.

“Biasanya bagi kami yang tinggal di Hulu Selangor, untuk menonton persembahan kebudayaan tradisional perlu ke Kuala Lumpur. Namun, menerusi program sebegini, penduduk tempatan dapat menyaksikan bakat anak-anak di kawasan sendiri.

Guru Tari, Noor Azura Abd Hamid, 39

“Saya lihat Program Rewang Komuniti ini lebih meriah berbanding program lain, mungkin disebabkan atur caranya yang bersifat kemasyarakatan,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Nor Sakinah Rosli, 33, meluangkan masa dari pagi hingga ke malam sepanjang Program Rewang Komuniti Strata berlangsung di Taman Bunga Raya, di sini, semalam.

Menariknya, beliau turut mengenakan busana Melayu selaras dengan tema acara penutup rewang bersama hampir 1,000 penduduk yang hadir.

Suri Rumah, Nor Sakinah Rosli, 33

“Saya berharap program ini diteruskan kerana kadangkala apabila hanya berada di rumah, hubungan dengan jiran menjadi renggang.

“Namun, melalui program sebegini, suasananya amat meriah dan dapat mengeratkan hubungan masyarakat. Pagi tadi kita dapat lihat masyarakat Cina, India dan Melayu bersama-sama menyertai aktiviti serta permainan,” katanya.

Guru, Ahmad Faiz Muhamad Nazri, 27, yang pada awalnya hadir sekadar menemani rakan, tidak menyangka program berkenaan berlangsung dengan begitu meriah dari pagi hingga ke malam.

Guru Kafa, Ahmad Faiz Muhamad Nazri, 27

Beliau berkata, kehadiran penduduk setempat yang sanggup menunggu sehingga acara tamat pada jam 11 malam membuktikan sambutan menggalakkan terhadap program tersebut.

“Saya harap program ini diteruskan setiap tahun. Jika boleh, ia menjadi acara tahunan atau ‘anniversary’ Bukit Beruntung. Jangan hentikan program ini kerana Hulu Selangor merupakan kawasan luar bandar yang memerlukan program kemasyarakatan seperti ini.

“Program Rewang Komuniti ini amat baik untuk kawasan kami dan menjadi satu anjakan pendekatan dalam mendekati rakyat,” katanya.

Kesemua mereka ditemui pada majlis penutup Program Rewang Komuniti Strata di Tapak Penjaja Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, di sini, semalam.

Program Rewang Komuniti Strata yang mula dilaksanakan pada 2024 merupakan inisiatif yang diilhamkan oleh EXCO Perumahan dan Kebudayaan bagi merapatkan hubungan komuniti pangsapuri, memupuk nilai murni serta mengangkat potensi masyarakat bandar dalam pelbagai aspek.

Inisiatif itu turut bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosial, keharmonian kejiranan dan kemakmuran dalam kalangan penghuni perumahan bertingkat, iaitu segmen perumahan yang semakin berkembang pesat di Selangor.