SHAH ALAM, 13 DIS: Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menambah baik perkhidmatan bas, khususnya laluan dari Semenyih ke stesen perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang.
EXCO Mobiliti, Ng Sze Han berkata langkah itu dipersetujui susulan satu perjumpaan dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih Nushi Mahfodz serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi memperhalusi cadangan penambahbaikan sistem dan jaringan pengangkutan awam di kawasan Semenyih dan Kajang.
Menurut beliau, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada keperluan laluan perbatuan terakhir (last mile) dari Semenyih ke stesen MRT Kajang, memandangkan ramai penduduk masih bergantung kepada sistem rel untuk berulang-alik ke pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
“Biarpun berbeza fahaman politik, isu rakyat adalah isu yang perlu diselesaikan demi kebaikan rakyat Negeri Selangor.
“Kita bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama Prasarana bagi menambah baik kekerapan bas T450 serta mempertimbangkan laluan khas bas bagi menyokong pergerakan penduduk dari Semenyih ke MRT Kajang,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau memaklumkan kualiti perkhidmatan Bas Smart Selangor di bawah pentadbiran MPKj turut dikenal pasti untuk ditambah baik bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Dalam agenda pemerkasaan mobiliti, Kerajaan Negeri sentiasa melihat secara menyeluruh dan bekerjasama dengan semua pemegang taruh supaya semua daerah mempunyai ketersambungan pengangkutan yang baik dan inklusif,” katanya.
Terdahulu, Nushi (PN/PAS) membangkitkan isu pengangkutan awam di Semenyih pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) baru-baru ini.
Susulan itu, perbincangan diadakan bersama MPKj bagi meneliti penambahbaikan rangkaian pengangkutan awam Semenyih–Kajang, khususnya memastikan sambungan laluan perbatuan terakhir yang lebih berkesan.
Kerjasama rentas parti dan agensi itu akan diteruskan sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri memperkukuh agenda mobiliti Selangor agar sistem pengangkutan awam di negeri ini menjadi lebih lancar, selesa dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.


