KUALA SELANGOR, 13 DIS: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM25 juta bagi penggunaan mesin JetPatcher, teknologi dari England untuk kerja tampalan lubang jalan di seluruh negeri bermula tahun hadapan.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata kerja tampalan tersebut akan dilaksanakan oleh Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melibatkan jalan di bawah seliaan Kerajaan Negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kita ada beberapa inisiatif baharu dilakukan untuk turapan mega tetapi bagi tampalan lubang, akan guna teknologi mesin JetPatcher yang mana ia memberi impak bagus dan tahan lama sejak digunakan setahun lalu,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan mesin JetPatcher akan dilaksanakan di lima zon di seluruh Selangor, dengan setiap zon menerima peruntukan RM5 juta khusus bagi kerja tampalan lubang jalan.
“Mesin JetPatcher ini digunakan di lima zon… setiap zon terima peruntukan RM5 juta, Infrasel akan lakukan kerja menampal lubang sahaja setiap hari. Keseluruhan turapan mega RM30 juta dan tampalan pula RM25 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan nelayan berjumlah RM670,000 menerusi Program Pembangunan Agropreneur Selangor Bantuan Nelayan di Jeti Hai Gang Fishery, Tanjong Karang, hari ini.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan pelaksanaan Program Turapan Mega dengan peruntukan keseluruhan RM55 juta, meningkat berbanding RM50 juta sebelum ini ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026.
Program Turapan Mega yang diperkenalkan pada 2023 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur jalan negeri secara menyeluruh dan berperingkat.
Dalam perkembangan lain, Izham yang juga EXCO Pertanian Selangor memaklumkan Kerajaan Negeri akan membina sebuah pusat lelongan binatang ternakan di Olak Lempit, Banting bermula tahun hadapan.
“Tanah sudah ada kini dalam proses pembinaan yang dijangka bermula tahun hadapan. Konsepnya sama seperti Pusat Lelongan Agro di Sijangkang, ada kaunter timbangan dan bidaan.
“Konsep lelongan ini beri keuntungan kepada kedua-dua pihak. Kita jangka pusat lelongan binatang ternakan ini beroperasi hujung tahun hadapan,” katanya.


