Paras air Sungai Klang melebihi tahap bahaya susulan hujan lebat

13 Dis 2025, 5:38 AM
Paras air Sungai Klang melebihi tahap bahaya susulan hujan lebat

SHAH ALAM, 13 DIS: Paras air beberapa sungai utama di negara ini termasuk Sungai Klang dilaporkan melepasi tahap bahaya susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Menurut maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi portal Public InfoBanjir, stesen aras air di Saluran Keluar Kolam Takungan Flat Sri Johor, Kuala Lumpur mencatatkan bacaan 33.04 meter (m), melebihi paras bahaya 32.66m setakat jam 10.40 pagi.

Bacaan di stesen Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang menunjukkan peningkatan ke tahap amaran iaitu 10.93m, melebihi paras amaran 10.70m.

Situasi sama turut dikesan di Perak apabila stesen aras air Sungai Slim di Slim River, Muallim merekodkan bacaan 25.44m, mengatasi paras bahaya pada 25.40m.

Sementara itu di Sarawak, dua stesen aras air di daerah Miri turut menunjukkan paras melebihi tahap bahaya. Stesen Long Teru merekodkan 8.52m berbanding paras bahaya 8m, manakala Marudi mencatatkan 3.86m berbanding 3.25m.

Beberapa negeri lain seperti Kedah, Johor dan Pahang turut mencatatkan peningkatan paras air di beberapa stesen pemantauan.

Keadaan ini menunjukkan tren peningkatan paras air yang ketara sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat terutama di kawasan rendah dan berdekatan sungai.

JPS menasihatkan penduduk di kawasan terlibat agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Paras air sungai yang melepasi tahap amaran dan bahaya menandakan keperluan pemantauan rapi serta kesiapsiagaan masyarakat setempat.

Kemas kini berkala boleh diakses melalui portal rasmi Public InfoBanjir bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan cuaca dan paras sungai.