Rumah Sembelih Colla Kuala Selangor cipta peluang ekonomi baharu

13 Dis 2025, 2:25 AM
Rumah Sembelih Colla Kuala Selangor  cipta peluang ekonomi baharu
Rumah Sembelih Colla Kuala Selangor  cipta peluang ekonomi baharu
Rumah Sembelih Colla Kuala Selangor  cipta peluang ekonomi baharu

KUALA SELANGOR, 12 DIS: Penubuhan Rumah Sembelih Colla (RSC) di Kuala Selangor dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan bekalan daging halal tempatan selain membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, fasiliti moden itu dibangunkan bagi meningkatkan kapasiti penyembelihan dan pemprosesan daging halal negara secara lebih cekap dan tersusun.

Menurut beliau, RSC mampu menyembelih antara 18 hingga 20 ekor lembu sejam, sekali gus mengukuhkan rantaian bekalan daripada ladang terus ke pengguna atau konsep paddock to plate.

“RSC juga dilengkapi peralatan canggih termasuk cold room, blast freezer, sistem kebersihan bersepadu serta prosedur keselamatan makanan bertaraf industri,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Tambahnya, kewujudan RSC bukan sahaja menyumbang kepada bekalan daging tempatan yang lebih stabil dan berkualiti, malah berpotensi merangsang aktiviti ekonomi di Kuala Selangor, khususnya melibatkan penternak dan usahawan daging.

"Fasiliti ini turut dibuka kepada penternak dan usahawan daging untuk tujuan penyembelihan dan penyimpanan, sekali gus meluaskan akses kepada perkhidmatan berkualiti," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad menyambut baik usaha Colla memperkukuh portfolio daging premium melalui ternakan baka MyGyu yang kini menghasilkan daging berkualiti tinggi setanding Wagyu import, namun pada harga lebih berpatutan.

“Dengan pelancaran RSC ini, kita semakin hampir mencapai tahap sara diri daging tempatan yang lebih tinggi serta memastikan agenda keterjaminan makanan negara terus diperkukuh,” katanya.