PETALING JAYA, 12 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang mengenal pasti kawasan-kawasan yang dilaporkan berdepan masalah kebersihan sehingga menyebabkan keadaan persekitaran menjadi kotor.
Datuk Bandarnya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata aspek kebersihan merupakan antara keutamaan MBPJ bagi memastikan bandar raya itu kekal bersih selaras aspirasi menjadi bandar sejahtera, mampan dan berkualiti tinggi kepada penduduk.
“Sebenarnya kita sedang mengenal pasti tempat-tempat yang dimaksudkan dan telah mengarahkan bahagian sisa pepejal menghubungi KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Kita arahkan semuanya dikenal pasti supaya tindakan lanjut dapat diambil. Pada masa sama, Kerajaan Negeri bersama semua pihak berkuasa tempatan juga akan bermesyuarat minggu hadapan bagi mendapatkan punca sebenar.
“Perlu dipastikan setiap aduan yang diterima mengapa ada masalah. Kena tahu punca sebenar supaya masalah seperti kutipan sampah dapat dijalankan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran program publisiti awal cadangan draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya (Penggantian) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Baginda menerima banyak aduan mengenai keadaan kebersihan di Selangor dan menegaskan agar tindakan segera diambil bagi membersihkan negeri itu.
Baginda bertitah Selangor merupakan negeri paling membangun di Malaysia dengan populasi besar seramai 7.4 juta penduduk dan seharusnya menjadi kebanggaan negara.
Baginda turut menyifatkan jadual kutipan sampah yang tidak teratur, penyelenggaraan tong sampah awam yang lemah serta penguatkuasaan longgar terhadap pembuangan sampah merata-rata sebagai antara punca utama masalah kebersihan.
Titah Sultan Selangor, isu itu memerlukan akauntabiliti yang jelas dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mempunyai standard kebersihan yang boleh diukur serta dipantau.
Baginda juga bertitah supaya kontrak pengurusan sisa dinilai semula dan ditamatkan sekiranya pihak terlibat gagal melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.




