Genap 12 tahun kematian Wan Ahmad Faris, keluarga tidak putus asa tuntut keadilan

12 Dis 2025, 4:22 AM
Genap 12 tahun kematian Wan Ahmad Faris, keluarga tidak putus asa tuntut keadilan

SHAH ALAM, 12 DIS: Hari ini, genap 12 tahun pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, ditemukan tergantung tidak bernyawa dalam tandas sebuah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan dipercayai akibat dibunuh.

Sepanjang tempoh itu, pasangan suami isteri, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79, dan Ruhani Hussin, 70, tidak berputus asa dalam menuntut keadilan kematian anak mereka itu.

Malah, kejadian menimpa anak sulung mereka itu masih segar dalam ingatan saban hari, lapor Berita Harian.

Terbaharu, keluarga berkenaan menyerahkan surat kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menerusi Pejabat Istana Kelantan tengah hari semalam bagi memohon perkenan Sultan Kelantan supaya kes terbabit diselesaikan melalui lunas Islam.

Ruhani berkata, menerusi surat berkenaan, pihaknya turut mencadangkan supaya kaedah al-Qasamah dilaksanakan, iaitu kes jenayah yang pelakunya tidak dikenal pasti.

Menerusi al-Qasamah, katanya, memandangkan mayat anaknya ditemui dalam sekolah tahfiz berkenaan, maka pihak sekolah perlu bertanggungjawab.

"Jika benar pihak sekolah tidak terbabit, mereka perlu melakukan sumpah mengatakan tidak tahu-menahu dan tidak terbabit berhubung kes berkenaan.

"Jika enggan bersumpah, pihak berkenaan perlu membayar pampasan kepada keluarga. Cara ini sahaja yang boleh memberi kepuasan kepada keluarga bagi menutup kes berkenaan.

"Selagi tidak selesai, kita akan syak pihak sekolah menyembunyikan sesuatu. Berkaitan siasatan polis, itu kerja polis dan al-Qasamah adalah isu lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ruhani berkata, perkara itu hanya cadangan daripada pihak keluarga dan terpulang kepada perkenan Sultan Kelantan untuk mengangkatnya.

"Sebagai seorang ibu yang kehilangan anak, sudah tentu saya mahukan keadilan dan tidak kenal putus asa dalam diri saya demi anak tersayang.

"Tiada apa yang diharapkan melainkan kes kematian anak saya mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang ketika itu adalah pelajar Tingkatan Empat, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kelantan.

Mayatnya dilaporkan ditemui oleh penyelia asrama selepas mengesan bau busuk dari tandas berkenaan.

Pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut yang tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

Bagaimanapun pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Wan Ahmad Faris disebabkan oleh tindakan individu yang tidak dikenali.