SHAH ALAM, 11 DIS: Polis mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun meninggal dunia selepas dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke sebuah klinik swasta di Bandar Sendayan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata mangsa tiba di klinik pada 5.50 petang dan doktor bertugas menjalankan bantuan pernafasan (CPR) namun mengesahkannya meninggal dunia tidak lama kemudian.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu berada di bawah jagaan seorang pengasuh berusia 32 tahun sebelum dilaporkan lemah.
“Bedah siasat di Hospital Rembau menunjukkan terdapat kecederaan pada bahagian abdomen,” katanya dalam kenyataan.
Pengasuh terbabit ditahan dan dibenarkan jamin polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut sedang diteruskan.


