Sepanyol tegaskan genosid di Gaza tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman

11 Dis 2025, 7:26 AM
Sepanyol tegaskan genosid di Gaza tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman

GENEVA, 11 DIS: Perdana Menteri Sepanyol pada Rabu menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan di Gaza “mesti dipertanggungjawabkan”, sambil menekankan bahawa keamanan sebenar memerlukan keadilan ketika beliau menjadi tuan rumah kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas bagi lawatan rasmi ke Madrid, lapor Anadolu Ajansi.

Berucap di Istana La Moncloa sempena Hari Hak Asasi Manusia, Pedro Sanchez menyifatkan majlis itu amat simbolik, bertepatan dengan ulang tahun Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan menegaskan bahawa maruah manusia ialah “nilai tanpa syarat, unik dan tidak boleh dirunding”.

Beliau berkata 2025 merupakan tahun yang amat dahsyat bagi rakyat Palestin, dengan sembilan daripada 10 kediaman di Gaza kini tidak lagi boleh didiami dan “ribuan nyawa serta keluarga musnah”.

Memetik anggaran PBB yang mencatatkan lebih 50 juta tan runtuhan di seluruh Gaza, Sanchez berkata pembinaan semula secara fizikal mungkin dapat dilakukan pada masa akan datang, namun cabaran lebih besar adalah “bagaimana membina semula harapan” dan memastikan keamanan bukan sekadar “selingan singkat antara peperangan”.

Beliau memberi amaran bahawa gencatan senjata tidak menamatkan penderitaan orang awam.

“Walaupun hari ini selepas pengumuman gencatan senjata, rakyat Palestin di Gaza masih diserang… Kita perlukan keamanan sebenar. Mereka yang bertanggungjawab terhadap genosid ini mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.

Sanchez mengulangi komitmen Sepanyol kepada penyelesaian dua negara dan menggariskan tiga keutamaan iaitu memastikan krisis Palestin tidak dilupakan masyarakat dunia, menyokong Pihak Berkuasa Palestin dalam membentuk tadbir urus masa depan, serta bekerjasama dengan rakan Eropah, Arab dan antarabangsa untuk mewujudkan keadaan keselamatan yang dapat “menamatkan keganasan untuk semua”.

Beliau berkata rakyat Sepanyol “benar-benar tersentuh” dengan kemusnahan di Gaza dan menyokong kuat pengiktirafan negara Palestin.

Sanchez menegaskan bahawa Sepanyol dan Palestin “akan sentiasa berjalan seiring”, sambil menyuarakan harapan agar lawatan Abbas dapat membina jambatan hubungan, mencari penyelesaian berlandaskan undang-undang antarabangsa dan mengukuhkan hubungan dua hala.

Abbas dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada Sepanyol atas pengiktirafan negara Palestin dan peranannya membentuk gabungan antarabangsa untuk memperluas pengiktirafan dan memajukan pelaksanaan penyelesaian dua negara.

Beliau mengesahkan komitmen kepada penyelesaian dua negara berdasarkan resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa, serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Terdahulu pada Rabu, Presiden Palestin itu bertemu Raja Felipe VI di Madrid bagi membincangkan perkembangan politik dan situasi terkini di wilayah Palestin.

Menurut agensi berita Palestin WAFA, Abbas turut membincangkan cara mempertingkat hubungan dua hala serta perkembangan terkini Palestin bersama Raja Felipe VI.

Abbas tiba di Sepanyol pada Selasa untuk lawatan dua hari.