SHAH ALAM, 11 DIS: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan berkaitan dadah menerusi satu operasi di Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor baru-baru ini.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor memaklumkan tangkapan dilakukan sekitar jam 6 petang semalam oleh sepasukan anggota Balai Polis Ulu Yam Bharu hasil risikan dan rondaan di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu tiub plastik putih berisi serbuk dipercayai dadah jenis syabu.
”Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” menurut kenyataan itu.
Menurut IPD Hulu Selangor, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian dan sumber bekalan dadah berkenaan.
Pihak berkuasa itu turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah, jenayah atau aktiviti mencurigakan melalui Pusat Kawalan Daerah atau balai polis berhampiran.
“Setiap aduan akan diberi perhatian tanpa kompromi. Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kawasan kekal selamat,” jelas kenyataan tersebut.


