SHAH ALAM, 9 DIS: Polis menjalankan siasatan berhubung video tular dua kenderaan didakwa menghalang laluan sebuah ambulans di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menghala ke Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 11.23 pagi berhubung pautan video yang dimuat naik di platform TikTok menggunakan akaun ‘azmanroy@85’.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 1.30 tengah hari semalam ketika ambulans dalam perjalanan ke Hospital Sentosa Klang untuk mengambil seorang pesakit demam panas.
“Kejadian berlaku di kilometer 36.3 Lebuhraya KESAS apabila ambulans bergerak di lorong paling kanan, namun dua kenderaan di hadapan enggan memberi laluan walaupun siren telah dibunyikan.
“Hasil siasatan juga mendapati pemandu ambulans gagal mengenal pasti nombor pendaftaran kedua-dua kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495.
Katanya, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.


