Saman tertunggak tidak jejas kelayakan subsidi BUDI95

9 Dis 2025, 11:17 AM
Saman tertunggak tidak jejas kelayakan subsidi BUDI95

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Kelayakan untuk menerima subsidi petrol di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) hanya bergantung pada dua syarat asas, iaitu status kewarganegaraan dan lesen memandu aktif.

Jelas Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke, program subsidi tersebut beroperasi sebagai satu mekanisme tersendiri dan tidak berkait secara langsung dengan rekod saman trafik seseorang individu, lapor Berita Harian.

“Untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol BUDI95, pemohon mestilah warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad, dan memiliki lesen memandu yang aktif.

“Lesen memandu aktif merujuk kepada lesen dalam tempoh sah atau tempoh tamat yang tidak melebihi tiga tahun,” katanya mengulas dakwaan kegagalan menjelaskan saman akan menyebabkan kehilangan kelayakan menikmati subsidi BUDI95.

Menurut beliau, syarat tersebut adalah sebahagian daripada dasar semasa dan digunakan bagi memastikan proses penyaluran subsidi berjalan teratur serta menepati kumpulan sasaran.

Loke turut menasihati orang ramai agar terus mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya.