SHAH ALAM, 9 DIS: Representasi wanita dalam pentadbiran negeri wajar dipertingkat dengan sasaran 50 peratus pengisian jawatan, khususnya di semua peringkat proses membuat dasar dan keputusan.
Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Lau Weng San berkata, cadangan itu disifatkan sebagai langkah penting yang mampu memperkukuh komitmen Selangor dalam memartabatkan kepimpinan wanita.
“Sudah sampai waktunya kerajaan mempertimbangkan peningkatan perwakilan wanita kepada 50 peratus dalam semua jawatan lantikan dan platform pembuat dasar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran SIWANIS 2025-2026 di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan program Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) sepanjang dua tahun kebelakangan ini membuktikan potensi besar wanita dalam kepimpinan, namun dasar yang lebih kukuh diperlukan bagi memperluas ruang penyertaan tersebut.
“Wanita di Selangor sudah lama bersedia. Apa yang diperlukan hanyalah keputusan dasar di peringkat kerajaan negeri untuk memastikan sasaran 50 peratus ini dapat direalisasikan,” ujarnya.
Menurut Weng San, langkah pertama ke arah perubahan itu boleh dimulakan melalui pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita boleh bermula dengan langkah pertama melalui pelantikan ahli majlis. Jika dapat dilaksanakan dalam pelantikan ahli majlis 2026, ia bakal memberi impak positif kepada wanita Selangor dan masyarakat keseluruhannya. Sekiranya EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari memerlukan sokongan, saya menyokong cadangan ini.
“Saya rasa parti-parti politik perlu mempertimbangkan cadangan ini supaya ia dapat membantu sayap wanita di parti politik masing-masing untuk memperluaskan pengaruh mereka dan juga pengaruh wanita dalam masyarakat,” katanya.



