Mahkamah Timbang Tara Sukan sahkan baru terima rayuan FAM

9 Dis 2025, 7:28 AM
Mahkamah Timbang Tara Sukan sahkan baru terima rayuan FAM
Mahkamah Timbang Tara Sukan sahkan baru terima rayuan FAM

SHAH ALAM, 9 DIS: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengesahkan menerima rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan, semalam.

CAS memaklumkan kedua-dua pihak kini sedang bertukar dokumen bertulis mengikut peraturan prosedur ditetapkan, lapor Harian Metro.

Dalam e-mel rasmi pegawai komunikasi CAS, Vanessa Tracey kepada Harian Metro, fasa pertukaran dokumen ini adalah sebahagian daripada prosedur biasa sebelum sebarang perbicaraan dijalankan.

"Selepas fasa ini, dan dengan persetujuan kedua-dua pihak, perbicaraan akan dijadualkan," lapor akhbar tersebut.

Situasi terbabit sekali gus memasuki babak seterusnya membabitkan isu pemalsuan dokumen selain itu menimbulkan harapan dan tanda tanya, sambil menunggu keputusan yang bakal memberi impak kepada pasukan kebangsaan.

Selain itu, CAS turut menekankan bahawa semua jadual perbicaraan akan dikemas kini secara berkala di laman rasmi mereka bagi memastikan perkembangan dapat diikuti oleh semua pihak berkepentingan.

Rayuan FAM terhadap FIFA ini dibuat sebagai langkah rasmi untuk mempertahankan kepentingan pasukan dan pemain negara, menurut kenyataan sebelum ini dari pihak FAM.

Semalam, FAM mengesahkan sudah mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung hukuman yang dikenakan FIFA.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata CAS menetapkan bahawa pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari sehingga 18 Disember ini untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.

Mengikut rekod, sebelum ini Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan selepas meneliti keseluruhan bukti serta hujahan dalam prosiding berkaitan kes pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain terbabit adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Dalam keputusan bertulis yang dikeluarkan, badan itu menegaskan bahawa kes berkenaan adalah pelanggaran serius di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), sekali gus mengekalkan semua hukuman yang sudah ditetapkan sebelum ini.

Hukuman terhadap FAM iaitu denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) dikekalkan sepenuhnya, sementara tujuh pemain terbabit turut mengekalkan hukuman masing-masing termasuk denda CHF2,000 (RM10,000) serta penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.