Lebih 3,500 penjaja terima lesen sementara di Ampang Jaya

9 Dis 2025, 4:19 AM
Lebih 3,500 penjaja terima lesen sementara di Ampang Jaya
Lebih 3,500 penjaja terima lesen sementara di Ampang Jaya
Lebih 3,500 penjaja terima lesen sementara di Ampang Jaya

SHAH ALAM, 9 DIS: Lebih 3,500 penjaja menerima lesen sementara susulan usaha pengumpulan data lapangan secara menyeluruh oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Inisiatif berkenaan bertujuan menyelaraskan pendaftaran peniaga, mengawal aktiviti perniagaan tidak formal serta mengukuhkan koordinasi sektor mikro yang semakin berkembang.

Sebagai sebahagian usaha penstrukturan semula, MPAJ turut menyediakan 94 unit MyKiosk KPKT@MPAJ bagi memudahkan pemindahan serta pemformalan peniaga kecil dalam kawal selia majlis itu.

"Berdasarkan pemeriksaan di lokasi, peningkatan kos sara hidup merupakan faktor utama yang mendorong ramai peniaga beroperasi di lokasi selain kawasan yang ditetapkan majlis," jelas MPAJ dalam kenyataan.

MPAJ turut memaklumkan permintaan terhadap aktiviti perniagaan kecil dan penjaja di kawasan pihaknya menunjukkan peningkatan.

Dalam masa sama, majlis menegaskan penguatkuasaan tetap diperlukan terhadap pengusaha yang gagal mematuhi standard asas kebersihan, kesihatan atau keselamatan.

Selain kompaun di bawah undang-undang kecil sedia ada, MPAJ turut mengeluarkan notis pematuhan syarat, notis pematuhan lesen dan notis pengesahan pembatalan lesen kepada peniaga yang melanggar peraturan.

MPAJ berkata libat urus dengan peniaga terus dijalankan termasuk melalui taklimat tahunan mengenai pelesenan dan keusahawanan mikro, selain makluman berkala daripada pegawai penguat kuasa dan lapangan.

Pada 8 Jun lalu, media melaporkan usaha MPAJ mengenal pasti serta mendaftarkan peniaga kecil di seluruh Ampang Jaya susulan kebimbangan terhadap peningkatan peniaga tepi jalan dan tapak sementara.

Inisiatif bermula Jun itu termasuk perancangan majlis mengenal pasti tapak baharu bagi memenuhi permintaan yang meningkat dan penawaran lesen sementara kepada peniaga yang mematuhi peraturan.

Selain itu, MPAJ turut mencadangkan pemindahan atau jika perlu, tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas mereka yang beroperasi di kawasan tidak sesuai atau tidak selamat.