Thailand lancar serangan udara ke atas Kemboja, gencatan senjata mula goyah

8 Dis 2025, 4:36 AM
Thailand lancar serangan udara ke atas Kemboja, gencatan senjata mula goyah

SHAH ALAM, 8 DIS: Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja susulan pertempuran baharu di kawasan sempadan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan pelan damai yang dipersetujui dua bulan lalu.

Ketegangan tercetus awal pagi apabila kedua-dua negara saling menuduh melepaskan tembakan di kawasan sempadan yang dipertikaikan. Konflik memuncak selepas Thailand menggantung kemajuan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini, lapor Berita Harian.

Menurut Mejar Jeneral Winthai Suvaree, serangan udara Thailand menyasarkan kedudukan sokongan senjata Kemboja di Chong An Ma Pass sebagai tindakan balas terhadap serangan kira-kira jam 3 pagi yang mengorbankan seorang askar Thailand dan mencederakan dua lagi.

Tentera Kemboja dalam kenyataan berasingan mendakwa Thailand memulakan serangan terhadap pasukan mereka sekitar jam 5.04 pagi, sambil menuduh Bangkok melakukan “tindakan provokatif” sejak beberapa hari lalu.

Pihak berkuasa Thailand memaklumkan kira-kira 70 peratus penduduk awam di bandar sempadan sudah dipindahkan. Satu kematian dilaporkan membabitkan individu yang mempunyai masalah kesihatan ketika proses pemindahan.

Thailand dan Kemboja sebelum ini terbabit dalam konflik lima hari pada Julai lalu yang meragut puluhan nyawa serta memaksa lebih 200,000 penduduk dipindahkan.

Gencatan senjata awal dicapai pada 28 Julai selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengadakan panggilan dengan pemimpin kedua-dua negara. Perjanjian itu diperluaskan melalui deklarasi yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada akhir Oktober, disaksikan Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun hubungan kedua-dua negara kembali tegang kurang dua minggu selepas itu apabila beberapa askar Thailand cedera akibat letupan periuk api di sempadan.

Thailand dan Kemboja pernah berdepan insiden ketenteraan sebelum ini, namun pertempuran kali ini disifatkan antara yang paling serius dalam beberapa tahun. Kedua-dua pihak terus saling menuduh mencetuskan ketegangan terbaharu.