SHAH ALAM, 29 APRIL: Universiti Islam Selangor (UIS) meneroka potensi kolaborasi strategik dengan Cambodian Muslim Teacher Association bagi memperkukuh kerjasama pendidikan Islam di peringkat antarabangsa.
Menurut UIS lawatan delegasi persatuan itu ke universiti berkenaan baru-baru ini bagi sesi perbincangan kerjasama, khususnya dalam meningkatkan kemasukan pelajar dari Kemboja ke program akademik UIS, selain kerjasama dalam pembangunan pelan pendidikan Islam di Kemboja.
“Kedua-dua pihak turut meneroka peluang yang lebih luas dalam pembangunan akademik, mobiliti pelajar serta pengukuhan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Kemboja,” katanya.
Tambah UIS, sesi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan universiti itu dalam memperluaskan jaringan antarabangsa dalam memperkukuh penyediaan pendidikan berkualiti.
“Selain itu menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti kepada pelajar dari seluruh dunia, khususnya dalam kalangan komuniti Muslim di Kemboja.
“UIS berharap agar hubungan kerjasama ini dapat diperkukuh dan diperkembangkan secara mampan pada masa akan datang,” katanya.
Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kualiti pengajian peringkat ijazah di universiti Islam tempatan adalah setanding dengan universiti di luar negara.
Sultan Sharafuddin juga bertitah perkara itu harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempromosikan universiti Islam tempatan khususnya UIS yang disifatkan tetap hebat dan setanding dengan institusi di negara Timur Tengah.
UIS adalah institusi pengajian tinggi (IPT) Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang ditubuhkan di bawah akta IPT swasta (IPTS) 1996.









