KENINGAU, 8 DIS: Pelajar lelaki tingkatan dua maut selepas terkena tembakan senjata buatan sendiri (bakakuk) ketika bermain sembunyi-sembunyi bersama rakannya di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH di sini semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa berusia 14 tahun rebah selepas terkena tembakan dari jarak kira-kira tiga meter sebelum dihantar penduduk kampung ke Hospital Keningau namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di unit kecemasan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata siasatan awal mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun dipercayai secara tidak sengaja melepaskan tembakan ketika bergurau dengan mangsa.
“Mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sementara suspek dipercayai menarik picu tanpa disedari sehingga tembakan mengenai mangsa.
“Suspek kemudian panik dan meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melintas,” katanya lapor Harian Metro.
Pemeriksaan perubatan menemukan 14 kesan tembakan pada tubuh mangsa termasuk di dada kanan, lengan kanan, lutut serta sisi kiri badan.
Yampil berkata senjata itu disorokkan oleh adik suspek berusia 13 tahun manakala pemiliknya adalah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun.
“Ketiga-tiga beranak terbabit ditahan, polis merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek dan dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu hari ini.


