SHAH ALAM, 8 DIS: Sebuah bengkel cat dan lapan kenderaan musnah dalam kebakaran di Sungai Sedu, Banting petang semalam dipercayai berpunca panahan petir.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata kejadian turut mengakibatkan sebuah rumah yang terletak bersebelahan premis terjejas.
Menurutnya, kebakaran bermula sekitar jam 5 petang sebelum disedari orang awam yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.
“Hasil maklumat awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, punca kebakaran dipercayai disebabkan panahan petir.
“Kebakaran mengakibatkan kemusnahan lapan kenderaan dalam bengkel, barangan termasuk cat dan peralatan serta sebuah rumah bersebelahan,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
Beliau berkata kebakaran dapat dikawal sepenuhnya tanpa sebarang kemalangan jiwa dan operasi selesai pada jam 7.20 malam.



