Pascabah Dusun Nanding: Lapor segera jika belum terima bantuan

7 Dis 2025, 12:01 PM
Pascabah Dusun Nanding: Lapor segera jika belum terima bantuan

HULU LANGAT, 7 DIS: Mangsa banjir di Dusun Nanding yang belum menerima bantuan diminta segera memaklumkan perkara tersebut kepada ketua kampung atau ketua masyarakat bagi memastikan agihan lebih teratur dan mengelak pertindihan maklumat penerima.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dato’ Salehuddin Saidin berkata pihaknya turut bekerjasama rapat dengan kepimpinan setempat untuk mengenal pasti keluarga yang benar-benar terjejas.

“Mereka boleh ajukan segala masalah kepada ketua kampung. Mereka yang akan salurkan maklumat kepada kami dan kami akan turun untuk bantu,” katanya selepas meninjau keadaan penduduk di Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding di sini, hari ini.

Salehuddin menjelaskan kawasan tersebut sering berdepan insiden banjir berikutan struktur perparitan tidak sempurna serta air lambat surut, menyebabkan kawasan lebih tinggi turut terjejas ketika cuaca tidak menentu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan digesa meneliti penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang termasuk mendalamkan sungai serta menaik taraf sistem perparitan bagi memastikan aliran air lebih lancar dan tidak membimbangkan penduduk setiap kali hujan lebat.

Insiden banjir minggu ini mengakibatkan ramai penduduk mengalami kerosakan harta benda dan memerlukan bantuan segera sehingga proses pemulihan selesai sepenuhnya.