Malaysia tuntut penyelesaian menyeluruh isu Gaza, kutuk kekejaman Israel

7 Dis 2025, 7:58 AM
Malaysia tuntut penyelesaian menyeluruh isu Gaza, kutuk kekejaman Israel

PUTRAJAYA, 7 DIS: Malaysia menegaskan bahawa penyelesaian konflik Palestin tidak boleh bersifat separuh jalan, sebaliknya mesti merangkumi penyelesaian menyeluruh yang menghentikan kekejaman Israel dan mengiktiraf hak rakyat Palestin secara total.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian itu diangkat susulan tindakan Israel yang terus melakukan pembunuhan, penaklukan tanah dan kekejaman terhadap penduduk Gaza serta Tebing Barat, meskipun wujud inisiatif damai antarabangsa.

“Semalam, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani menghubungi saya memaklumkan bahawa negara-negara Islam menyambut baik inisiatif perdamaian dipelopori Presiden Donald Trump.

“Namun, keraguan tetap timbul apabila Israel meneruskan serangan. Negara Islam, termasuk Malaysia, mengecam tindakan itu dan menggesa supaya fasa pertama pelan perdamaian dilaksanakan tanpa lengah,” katanya ketika merasmikan penutupan program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya, hari ini.

Anwar menegaskan Malaysia tidak akan berganjak daripada pendirian tegas bahawa hak rakyat Palestin mesti dihormati dan dijamin.

“Kezaliman, penaklukan dan penjajahan Israel mesti dihentikan. Penyelesaian isu Palestin tidak boleh separuh jalan, tidak boleh terhad kepada gencatan senjata sementara,” katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi menghubunginya bagi menyatakan kesediaan negara itu menganjurkan satu sidang antarabangsa khusus untuk pemulihan Gaza.

“Mesir meminta Malaysia menjadi penganjur bersama (co-convener) sidang tersebut. Kita sedang bekerjasama dan meneliti bentuk terbaik penganjuran itu kerana tanggungjawab kita dalam keadilan sejagat mesti diperkukuh,” jelasnya.

Sebelum ini, Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas mencapai fasa pertama pelan damai, merangkumi gencatan senjata dan pembebasan tebusan, hasil rundingan tidak langsung di Mesir.

Perjanjian itu merupakan langkah awal daripada pelan 20 perkara yang dicadangkan beliau bagi menamatkan konflik dua tahun di Gaza, namun keganasan Israel berterusan mencetuskan keraguan terhadap komitmen sebenar rejim tersebut.