SHAH ALAM, 6 DIS: Temasya Sukan Antara Agensi Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melabuhkan tirai dengan rekod penyertaan 1,878 warga kerja melibatkan 21 kontinjen, menjadikannya penganjuran terbesar membabitkan agensi berkaitan kerajaan (GLC) negeri setakat ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan tersebut mencerminkan kekuatan jaringan kerjasama antara agensi Kerajaan Negeri, sekali gus membuktikan kesediaan warga GLC membudayakan gaya hidup sihat dan aktif.

“Temasya ini bukan sekadar pertandingan. Ia medan memupuk ukhwah, semangat pasukan dan identiti keluarga besar MBI yang bersama-sama menerajui pembangunan Selangor.
“Acara seumpama ini wajar dijadikan program dwitahunan tetap kerana ia meningkatkan motivasi, disiplin dan produktiviti warga kerja,” katanya ketika merasmikan penutup temasya di Kompleks Sukan Shah Alam (Panasonic), hari ini.
Penganjuran tahun ini mempertandingkan tujuh acara sukan dengan 23 pingat emas menjadi rebutan. Temasya bermula 12 November dengan perlumbaan go-kart sebelum mencapai kemuncak menerusi acara balapan hari ini.

Majlis penutup turut diserikan perbarisan 561 peserta dari semua agensi, memaparkan semangat kesukanan dan kebersamaan warga kerja di bawah naungan MBI.
Air Selangor muncul juara keseluruhan temasya, manakala KDEB Waste Management meraih naib juara dan Koridor Utiliti Selangor menduduki tempat ketiga.
Acara sampingan CEO Dash turut menarik perhatian apabila barisan ketua eksekutif GLC Selangor menyertai larian khas, menambah elemen unik dan menceriakan temasya edisi kali ini.






