Bakal pengantin maut, SUV terbabas masuk gaung

6 Dis 2025, 12:17 AM
Bakal pengantin maut, SUV terbabas masuk gaung

KUALA BERANG, 6 DIS: Sepasang bakal pengantin maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa, Hassan Shazali, 52, dari Melor, Kota Bharu dan Suzaimah Che Azis, 34, dari Gua Musang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut beliau, lelaki itu bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, Gua Musang manakala pasangannya bekerja di kantin sekolah yang sama dan mereka dijadual melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember ini.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat SUV jenis Toyota Fortuner terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 60 meter.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang telah melalui jalan berkenaan yang ditutup akibat tanah runtuh. Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan itu," katanya.

Sharudin berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.