SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan sudah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan berwaspada dalam mendepani Monsun Timur Laut (MTL), susulan amaran hujan berterusan sehingga Isnin ini.
Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sudah membentangkan mengenai tahap persiapan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menghadapi musim monsun ini, lapor Berita Harian.
"Jadi orang ramai diingatkan mengambil maklum dan membuat perancangan bersesuaian bagi menghadapi MTL terutama dalam beberapa hari akan datang sehingga Isnin ini," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, setakat pagi tadi, Kabinet dimaklumkan jumlah mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan ke 3,147 orang dan empat PPS lagi sudah ditutup, menjadikan jumlah keseluruhan 49 PPS.
Mengulas bencana di Indonesia, beliau berkata, Perdana Menteri akan menghubungi Presiden Prabowo Subianto petang ini bagi menzahirkan simpati dan menyatakan komitmen Malaysia untuk membantu negara sahabat itu berdepan ujian atau musibah.
"Ini untuk lihat apa bantuan yang boleh disediakan pihak kerajaan untuk membantu jiran kita, itu yang utama.
"Perdana Menteri juga akan mengucapkan takziah khusus untuk mangsa banjir dan tanah runtuh di Sumatera dalam panggilan telefon petang ini," katanya.
Sementara itu, menyentuh cadangan pakar supaya pempengaruh dikenakan kod etika dalam penyediaan kandungan mereka, Fahmi berkata, setakat ini kerajaan tidak mengenakan apa-apa syarat lesen ataupun mengawal selia pempengaruh.
"Tapi beberapa insiden baru-baru ini seperti inkues Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pihak Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan menerima aduan pihak media rasmi tidak dibenar membuat pelaporan, tetapi ada pempengaruh ataupun mereka yang tidak diberi akreditasi dapat membuat laporan.
"Jadi kita akan teliti. Saya akan jemput pakar berkenaan untuk adakan sedikit perbincangan, untuk cuba faham sudut pandang beliau," katanya.


