Pernah satu ketika, nama Kampung Baru Jenjarom, Kuala Langat menjadi sebutan seluruh daerah atas sebab yang tidak diingini.
Ia digelar ‘kampung dadah’ dan ‘kampung samseng’, tanda sebuah komuniti kecil yang dihimpit masalah sosial serta tanggapan memeritkan. Setiap langkah penduduk seakan-akan dibayangi pandangan sinis luar.
Namun, di balik gelaran itu tersembunyi kekuatan yang halus tetapi luar biasa, sebuah kampung yang enggan rebah.
Hari ini, kawasan yang pernah dihukum tanggapan itu bangkit sebagai ‘kampung bahagia’, simbol harapan baharu dan bukti betapa komuniti mampu menulis semula sejarahnya.
Dibuka pada 1951 dan dahulunya dikenali sebagai Batu 14, Jenjarom berakar daripada kehidupan pertanian yang sederhana.
Generasi awal membina kampung ini dengan keringat, tangan dan ketabahan warisan yang akhirnya menjadi nadi kekuatan masyarakat.
Dengan lebih 10,000 penduduk dan diiktiraf sebagai kampung baru keempat terbesar negara, Jenjarom hari ini adalah bukti luka masa lalu boleh menjadi asas kekuatan.
Suatu masa dahulu, hasil pertanian seperti kucai, kopi, halia dan teh yang digelar ‘Empat Khazanah Jenjarom’ terkenal ke seluruh negara.
Pertanian bukan sekadar mata pencarian, ia membentuk sifat rajin dan cekal yang kekal dalam jiwa penduduk hingga kini.
Peredaran zaman menyaksikan generasi baharu memodenkan legasi itu. Kacang tumbuk, pau buatan tangan, yau char kway bawang putih dan kek telur kini menjadi ‘Empat Khazanah Baharu’, merubah Jenjarom sebagai destinasi kecil yang penuh rasa dan identiti.
Dalam masa sama, kemunculan industri ringan serta kepulangan anak muda dengan model perniagaan moden menjadikan ekonomi kampung lebih dinamik.

Perpaduan utuh
Lebih 10 persatuan suku kaum, tokong, sekolah dan pertubuhan sosial menjadi tulang belakang kepada struktur kukuh Jenjarom.
Di sinilah terletaknya “soft power” kampung ini, rangkaian sokongan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar.
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama pertubuhan lain pernah berdepan detik getir ketika Jenjarom bergelut dengan jenayah dan dadah. Namun mereka memilih untuk bertahan.
"Kami memilih untuk kekal, bukan melarikan diri," itulah suara hati masyarakat ketika seluruh negara memandang rendah kampung mereka.
Penubuhan Jawatankuasa Kampung Bahagia memperkemas kerjasama antara tokong, pertubuhan masyarakat dan institusi pendidikan, sehingga usaha meningkatkan keselamatan, kebersihan dan pendidikan berjalan beriringan.
Sedikit demi sedikit, wajah lama yang muram terhapus.
Perubahan di Jenjarom bukan keajaiban, tetapi kisah yang ditulis ramai individu yang memilih untuk tetap tinggal.

Ekonomi kembali pulih
Antaranya Ang Peng Kee, 65, yang berhenti sekolah kerana kekangan keluarga tetapi bangkit memulakan perniagaan kecil. Ketekunan membawanya kepada khidmat masyarakat.
“Pada waktu itu saya cuma ada satu pegangan. Sebanyak mana saya mampu menyumbang kepada kampung, saya akan lakukan,” katanya.

Ketika pandemik, dia mengambil alih jawatan ketua kampung dan melihat bagaimana anak muda kembali untuk memulihkan ekonomi.
“Dengan kerjasama semua, pembangunan sekarang jauh lebih stabil. Kami turut menerima sokongan peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan pusat,” katanya.
Bagi Lee Ben Seng, 63, yang pernah merantau sebelum pulang pada 1990-an, kampung tetap rumah sebenar.
“Bekerja di tempat orang, sunyi itu teman paling biasa. Lagi jauh kita pergi, lagi kita faham ayat 'bulan paling bulat tetap di kampung sendiri',” katanya yang merupakan ahli Persatuan Keturunan Lee Kuala Langat.
Di sisi lain, Sun Soon Cheong, 50, yang bekerja sejak umur 12 tahun tetap memilih untuk kekal.
“Saya sangat suka cara hidup di sini perlahan, jujur, penuh rasa kemanusiaan. Sebab itu saya tak pernah terfikir mahu keluar. Sebaliknya saya sertai JKKK untuk beri sumbangan kepada komuniti,” katanya.

Sementara itu, Ang Eu Liang, 46, yang aktif dalam komuniti sejak remaja, membuktikan perpaduan merentas kaum menjadi nadi perkembangan Jenjarom.
“Saya membesar bersama kampung ini… rasa bangga itu memang lain,” katanya yang melangkah ke dunia politik dan kini bergelar Ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat.
“Di sini ada akar saya, ada jiwa saya,” katanya yang menjadi sebahagian denyut nadi kampung ini.
Manakala Ang Soon Beng, 65, pula percaya budaya kampung baru mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak pernah lenyap.
“Orang kampung kebanyakannya petani, mereka tabah, jimat dan paling penting tidak mudah panik.
"Apa pun cabaran, mereka hadapi dengan tenang. Itulah ketahanan orang kampung baru,” katanya.


