SHAH ALAM, 7 DIS: Kekerapan demam dalam kalangan bayi atau kanak-kanak sering menimbulkan kebimbangan ibu bapa, namun pakar menjelaskan keadaan itu normal dan semakin berkurang apabila anak membesar.
Demam dianggap tinggi apabila suhu badan melebihi 38 darjah Celsius. Ibu bapa disarankan membawa anak berjumpa doktor jika demam berterusan walaupun diberi ubat, atau disertai sawan, muntah teruk, cirit-birit, ruam, batuk berpanjangan atau tanda dehidrasi.
Pakar Pediatrik dan Endokrinologi KPJ Klang Specialist Hospital, Dr Ooi Hoi Leng berkata demam akibat jangkitan virus biasa akan pulih dalam tempoh tiga hingga lima hari, namun rawatan diperlukan jika demam berlarutan atau anak kelihatan letih dan tidak bermaya.
"Kanak-kanak yang aktif sepanjang tempoh demam biasanya tidak memerlukan rawatan kecemasan. Ibu bapa perlu memerhatikan perubahan tingkah laku anak. Tanda-tanda serius seperti kesukaran bernafas, kekeliruan atau kurang minum air perlu diberi perhatian segera dan rawatan," katanya.
Langkah rawatan di rumah
Dr Ooi berkata ibu bapa disarankan mempunyai termometer untuk memantau suhu anak, memberi ubat demam mengikut sukatan yang ditetapkan, selain kaedah ‘sponging’ menggunakan air suhu normal untuk menurunkan demam anak.
"Suhu badan normal sekitar 37 darjah Celsius. Contohnya, 37.2 atau 37.3, ibu bapa boleh pantau dahulu tanpa terus memberi ubat demam. Tetapi jika suhu 37.5 ke atas, hampir 38 darjah, sebaiknya beri ubat demam. Suhu melebihi 38 darjah pula kita anggap demam yang perlu diberi perhatian.
"Ada cara untuk ibu bapa turunkan suhu demam anak. Gunakan air suhu normal, buka baju dan tuam pada dahi, leher, bawah ketiak, serta depan dan belakang badan berulang-ulang supaya suhu turun. Boleh juga mandikan tetapi bukan dengan air yang terlalu sejuk sampai anak menggigil.
"Kanak-kanak digalakkan berpakaian nipis, berada dalam bilik dengan pengudaraan baik dan tidak diselimut terlalu tebal. Penggunaan gel sejuk (cool fever) boleh membantu menurunkan suhu tetapi tetap perlu dipantau. Jika suhu badan tinggi, gel akan cepat kering dan apabila kering, ia sudah tidak berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan hidrasi amat penting dan jika anak tidak mahu makan, ibu bapa perlu memastikan pengambilan cecair mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi antaranya memberi air kelapa, jus atau susu mengikut kesesuaian dan minat anak
Jelasnya, kanak-kanak yang kerap demam sedang membina antibodi terhadap pelbagai virus dan bakteria, sama seperti proses imunisasi melalui vaksin.
Ambil sekurang-kurangnya vaksin asas
Dr Ooi juga menekankan kepentingan mengikut jadual vaksinasi ditetapkan sejak bayi bagi melindungi daripada penyakit yang boleh dicegah.
"Vaksinasi ialah proses kita memberi kuantiti kecil bakteria atau virus yang telah dilemahkan untuk merangsang sistem imuniti. Badan kemudian menghasilkan antibodi yang melindungi bayi dan kanak-kanak. Jika tiada vaksinasi, anak kita terdedah kepada penyakit yang disenaraikan dalam jadual vaksinasi seperti difteria dan pertusis.
"Ibu bapa tentunya tidak mahu anak menderita akibat penyakit yang sebenarnya boleh dicegah dengan vaksin. Contohnya vaksin pneumokokus yang kini diwajibkan dalam jadual vaksinasi. Bakteria pneumokokus masih berada dalam komuniti. Jika kanak-kanak tidak divaksin, mereka berisiko mendapat jangkitan serius seperti radang paru-paru, jangkitan telinga atau jangkitan pada otak," katanya.

Justeru, beliau menyarankan ibu bapa yang terlepas jadual vaksinasi supaya membawa anak ke klinik kesihatan untuk mendapatkan konsultasi mengenai jenis vaksin yang boleh diberi bersesuaian dengan umur anak.
"Vaksin asas biasanya tamat sekitar 18 bulan, dengan ‘booster’ apabila masuk darjah satu. Ada yang bimbang tentang komplikasi vaksin kerana membaca pelbagai maklumat. Namun dari sudut sains, kebanyakan perkara yang dibimbangi itu tidak dapat dibuktikan secara kukuh, manakala kebaikan vaksin dalam melindungi daripada penyakit telah terbukti sejak puluhan tahun.
"Jika terlalu takut untuk mengambil semua vaksin tambahan, sekurang-kurangnya ambillah vaksin asas yang diwajibkan dan disyorkan oleh Kementerian Kesihatan untuk melindungi anak," katanya.
Minta nasihat doktor sebelum ambil suplemen
Beliau juga menasihatkan ibu bapa jangan memberi suplemen tambahan secara rutin tanpa pengesahan doktor kerana dibimbangi akan menjejaskan kesihatan anak.
"Setiap pemberian perlu disesuaikan mengikut umur, pemakanan dan keperluan khusus anak. Jika kanak-kanak makan dengan baik, selera makan bagus, tidak memilih makanan dan pemakanan seimbang, biasanya tidak perlu suplemen tambahan.
"Suplemen lebih kepada kes tertentu, misalnya kanak-kanak yang sangat memilih makanan, berat badan tidak naik, sering sakit atau mempunyai masalah pernafasan yang sensitif. Dalam keadaan ini, ibu bapa boleh berbincang dengan doktor pediatrik atau pakar diet untuk menentukan suplemen yang sesuai mengikut umur dan keadaan," katanya.
Beliau mengingatkan ibu bapa bahawa kunci kesihatan anak ialah pemakanan seimbang, tidur yang cukup serta persekitaran bersih dan bebas habuk.
"Sehubungan itu, demam bukanlah musuh, tetapi tanda tubuh sedang melawan jangkitan. Dengan pemantauan rapi, persekitaran bersih, pemakanan seimbang dan vaksinasi lengkap, anak boleh membesar dengan sihat serta sistem imun yang lebih kuat," katanya.



