Pusat Rehabilitasi Perkeso Meru, Perak mula operasi, rawat 232 pesakit setakat awal Disember

4 Dis 2025, 6:04 AM
Pusat Rehabilitasi Perkeso Meru, Perak mula operasi, rawat 232 pesakit setakat awal Disember

SHAH ALAM, 4 DIS: Pusat Rehabilitasi Perkeso di Meru, Perak yang mula beroperasi secara berperingkat sejak 22 Julai lalu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2026.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata setakat awal Disember, pusat itu telah merawat 232 pesakit dan kerajaan komited memastikan pekerja di seluruh negara mendapat akses rawatan berkualiti dan menyeluruh.

“Perkeso dan Kementerian Sumber Manusia sentiasa komited memastikan pencarum mendapat rawatan rehabilitasi bertaraf dunia, termasuk di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka kini mempunyai hampir 500 petugas, manakala pusat di Terengganu dan Pulau Pinang dijangka memiliki sekitar 465 petugas apabila beroperasi kelak.

Secara keseluruhan, kapasiti maksimum pusat rehabilitasi Perkeso mampu menampung 1,630 pesakit pada satu-satu masa, termasuk 800 di Perak, 500 di Melaka dan 330 di Terengganu.

Selain itu, Perkeso mengendalikan empat Pusat Satelit Rehabilitasi di Shah Alam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur, serta 261 panel rehabilitasi di seluruh negara.

“Rangkaian pusat dan panel rehabilitasi sedia ada sudah memadai untuk menampung keperluan rawatan pekerja di Malaysia,” jelas Steven Sim.