OLEH DEWI ABDUL RAHMAN
PETALING JAYA, 27 JULAI: Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (Nasam) menyasarkan kutipan sebanyak RM300,000 menerusi penganjuran Karnival Amal Nasam 2025 yang berlangsung hari ini di Taman Jaya, Petaling Jaya.
Pengurus Besarnya, Anne Low berkata, dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menampung kos operasi enam pusat pemulihan strok Nasam di seluruh negara.
“Lokasi kami adalah di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Perak, Kuantan, Johor dan Sabah. Semua pusat ini menawarkan khidmat pemulihan strok yang berfokus secara fizikal, mental dan sosial, khususnya kepada pesakit daripada latar belakang kurang berkemampuan.
[caption id="attachment_712580" align="alignleft" width="500"] Anne Low[/caption]
“Kami berharap dapat mengumpul RM300,000 bagi memastikan program rehabilitasi dapat diteruskan dengan kelengkapan mencukupi serta membantu lebih ramai pesakit strok mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurut beliau, program yang kembali dianjurkan selepas kali terakhir diadakan pada 2018 ini turut dimeriahkan dengan lebih 30 gerai makanan dan produk tempatan, termasuk penyertaan jenama hotel terkemuka, JW Marriott.
“Aktiviti keluarga seperti lukisan wajah, persembahan badut dan permainan kanak-kanak turut menjadi daya tarikan pengunjung,” tambahnya.
Anne yang ditemui pada program itu pagi tadi turut menekankan bahawa strok bukan lagi penyakit yang hanya menyerang warga emas, sebaliknya kini turut melibatkan golongan muda termasuk seawal usia empat tahun.
[caption id="attachment_712581" align="alignright" width="500"] Pengunjung membeli pelbagai jenis barang ketika program Persatuan Stroke Kebangsaan Malaysia (nasam) Pesta Amal di Taman Jaya Park, Petaling Jaya pada 27 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Justeru, acara seperti ini juga menjadi platform meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pencegahan strok dan pemulihan awal.
“Strok ialah penyakit yang boleh dicegah. Jika kita jaga kesihatan, kawal paras gula dan kolesterol serta amalkan gaya hidup sihat, kita boleh mengurangkan risiko strok.
“Bagi pesakit strok, pemulihan atau rehabilitasi sangat penting, terutama dalam beberapa bulan pertama selepas serangan. Jika fisioterapi dimulakan awal, peluang untuk pulih semula adalah sangat tinggi,” jelasnya.