Lelaki maut terjatuh bangunan ketika ambil bola pikel

3 Dis 2025, 1:28 PM
Lelaki maut terjatuh bangunan ketika ambil bola pikel

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan di Pudu, Wangsa Maju di sini ketika cuba mengambil bola pikel malam tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisiober Mohamad Lazim Ismail berkata sebelum kejadian, mangsa berusia 32 tahun sedang bermain bola pikel bersama rakan di tingkat 3 bangunan itu.

"Mangsa memanjat pagar sebelah gelanggang untuk mengambil bola sebelum terjatuh.

"Polis menerima laporan kejadian itu pada jam 9.43 malam dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Dalam kes berasingan, Mohamad Lazim memaklumkan lelaki berusia 77 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 19 sebuah kediaman di Setapak di sini, pagi tadi.

"Pihak polis menerima laporan kejadian pada jam 8.01 pagi. Mangsa ditemukan di bahagian belakang pondok pengawal dalam keadaan terlentang sebelum disahkan meninggal dunia.

"Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai SDR," katanya.