Sistem sokongan lemah, salah faham maskuliniti jejas kesihatan mental lelaki

4 Dis 2025, 1:01 AM
Sistem sokongan lemah, salah faham maskuliniti jejas kesihatan mental lelaki

SHAH ALAM, 4 DIS: Segelintir lelaki hari ini hidup dalam senyap yang membahayakan, memendam tekanan emosi, enggan mendapatkan bantuan dan terus menyembunyikan kelemahan akibat stigma maskuliniti.

Ketua Unit Latihan dan Modul Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), Dr Adnan Omar berkata fenomena itu berpotensi menjadi antara punca utama peningkatan risiko masalah kesihatan mental serius dalam kalangan lelaki.

Tegas beliau, bahaya terbesar bukan sekadar pada gejala kemurungan tetapi budaya masyarakat yang membuatkan golongan itu merasa mereka tidak dibenarkan bersuara, meluahkan perasaan atau mendapatkan intervensi awal.

Ketua Unit Latihan dan Modul Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), Dr Adnan Omar.

“Ramai anggap kemurungan terus membawa kepada bunuh diri. Tetapi ia tak semudah itu. Faktor stigma dan rasa tidak boleh minta tolong jauh lebih besar.

"Lelaki lazimnya takut dilihat lemah sekiranya meluahkan masalah, sekali gus menyebabkan mereka lambat mendapatkan intervensi profesional,” katanya kepada Media Selangor.

Adnan berkata, kecaman masyarakat terhadap individu yang cuba meluahkan masalah diri juga mendorong lelaki memilih untuk berdiam diri.

“Bila lelaki cuba bersuara, mereka dikecam atau dipersenda. Jadi mereka berhenti bercakap. Inilah punca stigma semakin menebal,” jelasnya.

Bagi pendekatan jangka panjang, beliau menegaskan terdapat keperluan memaknakan semula maskuliniti, termasuk melalui pendidikan agama.

“Khutbah sebenarnya ruang terbaik kerana majoritinya dihadiri lelaki. Namun setakat ini, saya hampir tidak pernah mendengar khutbah menyentuh soal kelakuan, pengurusan minda dan emosi, termasuk isu bunuh diri kecuali sekali ketika saya berada di Johor,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pengenalan Psychological First Aid (PFA) di sekolah sebagai asas kemahiran tindak (coping) awal kepada kanak-kanak dan remaja, selain memperluas pendidikan kesihatan mental ke universiti, pejabat dan komuniti.

“Kita tidak boleh tunggu sampai murung tahap teruk baru ingin bantu. Alat saringan yang digunakan di hospital sekarang dianggap agak lewat. Pencegahan awal lebih baik,” ujarnya.

Pendakwah bebas Ustazah Suriani Ismail.

Sementara itu, pendakwah bebas Ustazah Suriani Ismail berkata agama menyediakan kekuatan dalaman melalui amalan sabar, solat, zikir dan tawakal.

“Allah sebut jangan berputus asa daripada rahmat Allah kerana itu merupakan dosa besar,” katanya sambil menegaskan bahawa kestabilan jiwa sangat bergantung kepada hubungan seseorang dengan Allah.

Terdahulu, media melaporkan lebih 80 peratus daripada 5,857 kes bunuh diri yang dilaporkan di negara ini membabitkan lelaki terutama dalam kalangan belia dan mereka yang bekerja.

Statistik itu secara tidak langsung mencerminkan trend membimbangkan dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi diikuti Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang merupakan kawasan berstatus bandar.