SHAH ALAM, 4 DIS: Golongan lelaki dikenal pasti sebagai kumpulan paling berisiko mengalami tekanan jiwa berikutan budaya stereotaip yang mendesak mereka untuk sentiasa kelihatan kuat, macho dan mampu menahan emosi.
Ketua Unit Latihan dan Modul Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), Dr Adnan Omar berkata persepsi salah itu membawa kepada anggapan bahawa kekuatan fizikal menjadi ukuran ketahanan emosi seseorang.
“Ramai lelaki fikir diam itu kuat. Mereka dibesarkan untuk menahan, bukan meluah. Akhirnya mereka memendam sampai terluka sendiri,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata stigma yang menganggap lelaki lemah jika meluahkan perasaan menyebabkan ramai memilih untuk berdiam diri sehingga mendorong kepada tingkah laku tidak sihat.
“Mereka kemudian cenderung untuk bekerja lebih masa, mengasingkan diri, merawat diri sendiri atau melarikan diri ke gim sebagai cara menghindari emosi sebenar,” jelasnya.
Sementara itu, pendakwah bebas Ustazah Suriani Ismail berkata tekanan dalaman turut berpunca daripada kurangnya penghayatan agama termasuk kegagalan memahami tujuan hidup dan tidak melihat Allah sebagai sumber kekuatan.
Menurutnya, tekanan luaran seperti masalah kewangan, persekitaran toksik dan kurang sokongan keluarga turut menjadikan lelaki lebih terdedah kepada kebuntuan.
“Tekanan hidup ini membuatkan manusia merasakan tiada harapan untuk hidup dengan baik dan membawa kepada putus asa.
"Bila manusia beriman kepada Qada’ dan Qadar, mereka akan berlapang dada dan menjalani ujian dalam keadaan baik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Adnan menjelaskan hampir semua kes bunuh diri dalam kalangan lelaki berlaku ketika individu itu berseorangan, menunjukkan ketiadaan hubungan emosi rapat yang boleh dijadikan tempat bergantung.
“Berbeza dengan wanita, kebanyakan lelaki hanya ada ramai kawan untuk beraktiviti seperti bermain golf atau futsal, tetapi tiada kawan untuk berkongsi isu peribadi atau emosi,” katanya.
Suriani turut menegaskan bunuh diri adalah perbuatan haram dan dosa besar kerana Islam menitikberatkan penjagaan nyawa.
Beliau memberi contoh kisah Nabi Yaakub yang meluahkan kesedihan hanya kepada Allah sebagai panduan penyelesaian emosi yang tepat.
“Daripada surah ini kita belajar bahawa yang memberikan ujian itu Allah dan yang menyelamatkan serta mengeluarkan manusia daripada kesedihan juga Allah,” katanya.


