SHAH ALAM, 3 DIS: Seminar Pembangunan Majikan 2025 membuka ruang kepada majikan memahami dengan lebih mendalam keperluan pekerja masa kini, sekali gus menilai semula pendekatan pengurusan tenaga kerja dalam organisasi.
Rata-rata peserta mengakui program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu membantu mereka memilih insentif yang sesuai, mengurus pekerja dengan lebih empati dan menambah baik strategi pengambilan.
Pengurus Sumber Manusia Mun Sun Sdn Bhd, Zeenat Nisa berkata seminar berkenaan memberi penjelasan jelas mengenai insentif yang boleh dimanfaatkan majikan bagi meningkatkan kebajikan pekerja.
“Majikan didedahkan dengan pelbagai insentif kepada pekerja, dan ia membantu kami memahami pilihan terbaik untuk organisasi,” katanya ketika ditemui di Seminar Pembangunan Majikan 2025 di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, pendedahan yang diterima dapat diaplikasikan dalam operasi harian bagi memperkukuh pengurusan tenaga kerja.
“Program ini memberi pendedahan dan ilmu yang sangat berguna untuk diaplikasikan dalam operasi harian syarikat,” ujarnya.
Eksekutif Sumber Manusia Duopharma Biotech Berhad, S Shantinath pula menyifatkan seminar itu sebagai inisiatif menyeluruh yang merangkumi semua aspek penting dalam pembangunan pekerja.

“Ia adalah program yang komprehensif dan holistik kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, perkongsian semasa seminar membantu majikan memahami dengan lebih baik kaedah meningkatkan proses pengambilan pekerja serta merancang pembangunan modal insan secara konsisten.
Sementara itu, Pengurus Kanan Toyofuji Logistics Malaysia, Yong Hui Ying berkata seminar tersebut sangat relevan dalam memperjelas kaitan antara pembangunan pekerja dan pertumbuhan ekonomi.
“Ini program yang baik kerana ia menjelaskan bagaimana usaha pembangunan pekerja dapat menaikkan ekonomi,” katanya.

Program dengan kerjasama Kerajaan Selangor itu turut menghimpunkan pengurus sumber manusia daripada pelbagai sektor untuk berkongsi amalan terbaik dan memperkukuh keupayaan majikan dalam mengurus tenaga kerja secara lebih berkesan.



