SEPANG, 3 DIS: Sukarelawan Team Selangor memperhebatkan operasi pembersihan pascabanjir di kawasan kritikal, termasuk Kampung Giching, Salak Tinggi, Sepang dan Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor.
Pegawai Program Komuniti Team Selangor Amin Hafidzi berkata tindakan segera diperlukan memandangkan kediaman penduduk dipenuhi selut dan lumpur tebal.

“Keadaan agak teruk. Team Selangor berjaya mengerahkan 20 sukarelawan di Kampung Giching untuk membersihkan enam rumah, termasuk pembuangan barang rosak dan selut yang memasuki rumah.
”Setiap rumah dianggarkan menghasilkan 100 hingga 150 kilogram sisa,” katanya kepada Media Selangor.
Semenara itu, Sukarelawan Siti Norseha Abu Samah, 50, berkata pembabitannya sejak lima tahun lalu didorong rasa seronok dapat membantu masyarakat terutama ketika bencana.

“Kami membantu basuh rumah, angkat barang dan sediakan makanan. Bila tengok tuan rumah gembira, kami pun rasa seronok,” katanya.
Walaupun kerja pembersihan mencabar, terutama lumpur yang mengeras menjadi pasir dan berdebu, sukarelawan tetap komited memastikan rumah penduduk bersih sepenuhnya.
Sebelm ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri telah menyusun 5,000 sukarelawan yang akan digerakkan sebaik air surut bagi mempercepatkan pembersihan rumah mangsa banjir.






