Kaedah pembangunan Terminal 3 Pulau Carey diteliti untuk pertimbangan Jemaah Menteri

3 Dis 2025, 4:00 AM
Kaedah pembangunan Terminal 3 Pulau Carey diteliti untuk pertimbangan Jemaah Menteri

SHAH ALAM, 3 DIS: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memperhalusi perancangan pembangunan Terminal 3 Pelabuhan Klang di Pulau Carey, dengan fasa pertama projek itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menterinya, Anthony Loke berkata cadangan pembangunan tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas Jawatankuasa Pemandu Perancangan Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey (JPPC) menyelesaikan perincian kaedah pelaksanaannya.

Menurutnya, keperluan meningkatkan kapasiti masa depan Pelabuhan Klang telah dikenal pasti, termasuk melalui pembesaran terminal kontena di Pelabuhan Barat serta perancangan terminal ketiga sebagai langkah jangka panjang.

“Secara prinsip, Kementerian Pengangkutan telah mengenal pasti keperluan untuk mempertingkat kapasiti masa hadapan Pelabuhan Klang… dan perancangan pembangunan terminal ketiga di Pulau Carey sebagai pendekatan jangka panjang,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi (Kuala Langat) mengenai perancangan pembangunan Terminal 3 Pulau Carey di bawah RMK13 serta anggaran tempoh pelaksanaan.

Jelas Loke, Pulau Carey dipilih sebagai lokasi sesuai bagi terminal baharu kerana kedudukannya yang strategik di Selat Melaka dan kedalaman semula jadi sedalam 18 meter, membolehkan kapal kargo bersaiz ultra besar berlabuh.

Tambahnya, fasa pertama pembangunan dijangka bermula dalam pelaksanaan RMK-13 setelah melalui proses kelulusan.