SHAH ALAM, 3 DIS: Polis masih mengumpul keterangan berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan tiga pelajar perempuan Tingkatan Empat di asrama sebuah sekolah di Kuala Kubu Bharu (KKB), Hulu Selangor.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata kertas siasatan kes berkenaan turut akan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman bagi tindakan lanjut.
“Setakat ini, siasatan masih berjalan,” katanya seperti dilapor BH.
Terdahulu, ketiga-tiga pelajar berkenaan membuat laporan polis pada 26 November lalu, mendakwa mereka diganggu secara seksual oleh seorang kakitangan sekolah.
Menurut laporan awal, suspek berusia 48 tahun tersebut dipercayai menyentuh mangsa ketika mereka sedang tidur di katil asrama.
Lelaki itu kemudiannya ditahan dan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


