Kematian Syamsul Haris kini diklasifikasikan kes bunuh

2 Dis 2025, 12:25 PM
Kematian Syamsul Haris kini diklasifikasikan kes bunuh

SHAH ALAM, 2 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menyiasat kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan unsur jenayah membunuh.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar, memaklumkan siasatan bermula pada 28 Julai lalu sebagai siasatan mati mengejut (SDR) oleh IPD Kota Tinggi, Johor, susulan kematian yang berlaku semasa latihan PALAPES di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Namun pada 27 Ogos, siasatan kes itu diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan keluarga mangsa untuk penggalian semula jenazah (exhumation) dan bedah siasat kali kedua.

Selepas menerima dan meneliti laporan siasatan daripada pihak polis, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan berasingan hari ini mengesahkan bahawa kes berkenaan kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Jabatan ini telah mengarahkan agar kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang," menurut kenyataan.

PDRM dalam maklumannya turut menjelaskan siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian Syamsul Haris.

Kertas siasatan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut, selaras Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara kepada Peguam Negara dalam prosiding jenayah.

PDRM turut mengingatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini bagi menghormati prinsip keadilan jenayah dan memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Sebelum ini, media melaporkan pelatih Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai lalu.

Kematian Allahyarham Syamsul Haris yang mengambil jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) itu dipercayai ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Johor.