SHAH ALAM, 2 DIS: Seorang lelaki cedera akibat dilibas dengan batang paip polyvinyl chloride (PVC) selepas berlaku perselisihan faham dengan dua abang dan bapa saudara teman wanitanya, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 pagi ketika mangsa menghantar teman wanitanya pulang ke rumah di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, mangsa membuat laporan polis pada jam 4.50 pagi mendakwa dua abang teman wanitanya memulakan perselisihan faham sebelum seorang daripada mereka bertindak agresif.
“Suspek pertama melibas kaki mangsa dengan paip PVC dan menumbuk muka sehingga berdarah.
"Bapa saudara teman wanitanya pula mengugut akan membunuh mangsa jika berjumpa anak saudaranya itu lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan pada jam 4.30 petang hari sama oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.
“Sebatang paip PVC yang digunakan dalam serangan tersebut turut dirampas bagi membantu siasatan.
"Semakan mendapati suspek pertama dan ketiga tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod lampau," katanya.
Mahkamah membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama empat hari bermula 30 November hingga esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama.


