KAJANG, 2 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperkukuh usaha pendigitalan perkhidmatan bagi memudahkan urusan penebusan pusaka, wasiat dan hibah secara dalam talian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada prosedur manual.
Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran Mais, Mohammad Salleh Abdul Saha berkata kajian pihaknya mendapati proses manual sebelum ini melibatkan terlalu banyak tatacara operasi piawai (SOP) dan penggunaan dokumen fizikal, menyebabkan pelanggan berdepan kekangan.
“Sebelum ini urusan pusaka, wasiat dan hibah dibuat secara manual dan memerlukan banyak dokumen.
“Dapatan kajian menunjukkan digitalisasi amat penting bagi memastikan perkhidmatan lebih pantas dan mesra pengguna,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau merupakan pembentang kajian Kaedah Penebusan Pusaka Muslim Mesra Pengguna Muslim Mesra Pengguna di Mais pada Simposium Penyelidikan Islam Selangor 2025 di Auditorium Mohd Adanan Isman, Universiti Islam Selangor (UIS).
Beliau berkata, susulan dapatan kajian tersebut, Mais kini membangunkan beberapa sistem digital termasuk sistem faraid serta platform wasiat dan hibah menggunakan kaedah Sistem Wasiat dan Hibah (SISWA), selain sistem pengiraan fidyah yang telah digunakan.
“Inisiatif digital ini memberi kemudahan kepada masyarakat untuk membuat permohonan terus melalui talian tanpa perlu hadir ke pejabat.
“Masyarakat boleh membuat permohonan penebusan pusaka, wasiat dan hibah secara atas talian. Platform digital ini memberi akses maklumat dengan lebih cepat dan telus,” ujarnya lagi.
Menjelaskan perkembangan terkini, Mohammad Salleh berkata Mais turut menambah baik ciri sistem penebusan pusaka, termasuk fungsi menyemak status bayaran penebusan bagi kes tanah yang dikongsi antara Mais dan waris.
“Sebagai contoh, jika nilai penebusan RM60,000 dan waris telah menjelaskan RM30,000, sistem akan memaparkan baki bayaran secara jelas. Ia memudahkan waris merancang pembayaran kepada Mais sehingga selesai,” katanya.
Menurutnya lagi, sistem faraid melalui digital kini dalam pembangunan dan dijangka diwujudkan seawal tahun depan atau selewatnya 2027.
“Peringkat awal akan memberi tumpuan kepada pendigitalan dokumen wasiat dan hibah sebelum dimasukkan sepenuhnya ke dalam sistem faraid.
“Apabila dokumen wasiat dan hibah sudah didigitalkan, proses pelaksanaan menjadi lebih teratur dan mengurangkan kerenah birokrasi tanpa menyalahi enakmen sedia ada,” jelasnya.



