KUALA SELANGOR, 2 DIS: Hampir 700 penduduk Kampung Asahan masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini berikutan air lambat surut kerana banjir termenung.
Ketua Kampung Asahan Mohamad Fadlly Tomino, 42, berkata pada awalnya hanya satu PPS sebelum tiga lagi PPS dibuka bagi menampung pertambahan mangsa susulan hujan lebat.

"Ada penduduk balik sekejap ke rumah untuk memantau keadaan dan melakukan pembersihan sedikit demi sedikit kerana banjir belum surut sepenuhnya,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berharap Kerajaan dapat mempercepat kerja-kerja naik taraf benteng dan tebing parit bagi menampung limpahan air Sungai Selangor sekali gus mencegah air memasuki kediaman penduduk pada masa akan datang.
“Banjir berpunca daripada hujan berterusan selama beberapa hari. Pihak berkaitan perlu mengambil tindakan tambahan selain pelaksanaan awal Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Selangor.
"Perlu naik taraf benteng sungai dan tebing-tebing parit besar, selain mengenal pasti kawasan rendah yang memerlukan penyelenggaraan,” katanya.

Kampung Asahan merupakan antara kawasan paling kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat luar biasa melanda di daerah Kuala Selangor.
Setakat 3.30 petang tadi, sebanyak 21 PPS dibuka di seluruh Selangor menempatkan 1,471 mangsa.
Daripada jumlah itu, 1,407 mangsa berada di 14 PPS di Kuala Selangor, menjadikan kawasan itu paling terjejas ketika ini.





